Jumaat, 25 Disember 2009

Tidak akan Kerajaan Melayu Melaka hilang didunia??? (bahagian2)

salam,

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah saya berjaya juga memujuk hati dan badan yang malas ini untuk mengupdate blog saya ini walaupun rasa malas itu sudah menjalar keseluruh badan (malignant). iIea untuk menulis itu bercambah setiap masa tetapi penyakit 'malastisme' dan juga 'sibuktisme' sering kali menjadi alasan kukuh untuk mengapa blog ini tidak diupdate.

Pada entry sebelum ini saya ada memutarkan satu soalan yang berkaitan dengan Kerajaan Melayu Melaka (KMM) dan saya 'menyahut' cabaran dan saranan sahabat saya (klik disini), saudara Mat Zan untuk membuat futher reading tentang sejarah KMM ini.

Saya akan bawa anda semua ke alam yang penuh dengan kejutan. Lupakan sejarah buku teks yang sudah lama memperbodohkan kita, dan kali ini kita akan melihat sejarah KMM dari sudut yabg berbeza, dari sudut islam.

Semua sudah maklum bahawa KMM telah digulingkan oleh Portugis pada tahun 1511 dan kita telah didoktrin bahawa antara sebab utama portugis datang ke Melaka adalah untuk mencari rempah ratus. Secara hakikatnya,itu bukanlah itu alasan utama Portugis menyerang Melaka. Setelah pihak Kristian kalah dalam perang Salib dan juga perang-perang sebelum ini, mereka mahu mencari jalan bagaimana untuk membalas dendam ke atas umat Islam dan juga menyekat pengaruh Islam yang mula tersebar ke seluruh Eropah melalui peranan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah pada tahun 1457.

Pihak Kristian mengadakan perbincangan bagaimana untuk menghalang pengaruh Islam dari tersebar luas dan akhirnya mereka mencapai satu kata sepakat iaitu untuk mencari tulang belakang kejayaan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Mereka beranggapan bahawa jika tulang belakang kejayaan Khilafah Islamiyyah ini dapat ditumpaskan, maka senanglah untuk menggulingkan kerajaan Islam Uthmaniyyah.

Percayakah anda jika saya mengatakan tulang belakang bagi kejayaan kerajaan Turki Uthmaniyyah ini adalah kerajaan Melayu Melaka? Terkejut bukan? Tidak sangka KMM merupakan tulang belakang kejayaan Khilafah Islamiyyah.

Bagaimana KMM menjadi tulang belakang kerajaan Turki Uthamaniyyah? Saya akan menjawabnya pada edisi akan datang. Pada pendapat anda, bagaimana KMM menjadi sumber kekuatan kerajaan Turki Uthamaniyyah? Mungkin anda boleh berkongsi pendapat? Mana tahu kita mempunyai pandangan yang sama? Ataupun sahabat-sahabat ada cambahan idea yang menarik untuk disharingkan bersama?


* Sejarah itu best dan tidak membosankan :)






Isnin, 21 Disember 2009

Contoh terbaik...salute Kelate dibawah pimpinan Ulama'

KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).



Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.
"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.
Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.

*Ternanti-nanti bila peraturan seperti ini mahu dilaksanakan di seluruh Malaysia

Sumber rujukan
kosmo 21/12/2009
(klik disini)




Ahad, 20 Disember 2009

Merindukan keberkatan Yusuf al-Qardhawi








salam...
Alhamdulillah pada malam semalam saya berkesempatan untuk hadir ke majlis ilmu yang yang mana telah menampilkan seorang tokoh ulama' antarabangsa yang amat disegani. Telah banyak menyumbang dalam kemajuan Islam dan menjadi sumber rujukan kotemporeri, beliau yang saya maksudkan ialah Dr Yusuf Al-Qardhawi, ketua persatuan ulama dunia.

Suasana yang sangat meriah dapat dilihat di masjid negeri Shah Alam semenjak dari petang lagi. Terlalu ramai orang, saya jangkakan hampir lapan ribu orang yang hadir pada malam semalam untuk mendengar kata-kata mutiara dari tokoh ulama yang terkenal ini.

Turut hadir pada malam semalam adala Menteri Besar selangor Tan Sri Dato'Seri Khalid Ibrahim, Dato Seri Anwar Ibrahim, Dato' Hassan Ali. Ketika majlis baru bermula,kedengaran suara teriakan takbir di barisan hadapan. Rupa-rupanya kedatangan Tuan Guru Ayah Chik. Rasa gembira dihati lantaran melihat tokoh-tokoh hebat berada dibawah Rumah Allah ini.

Dalam mukaddimah Dr Yusuf al-Qardhawi telah memberitahu beliau telah dijemput oleh Dato Seri Anwar Ibrahim untuk memberi ceramah pada malam itu. Agak terperanjat saya mendengarnya, tidak sangka Dato Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan yang rapat dengan Dr Yusuf al-Qardhawi semenjak Dato Seri memegang jawatan sebagai presiden ABIM(angkatan belia islam malaysia) satu ketika dahulu.Patutlah Dato Seri Anwar Ibrahim telah diundi oleh majalah Forbes menduduki kedudukan ke-32 orang yang paling berpengaruh didunia.


Antara isi kandungan ceramah Dr Yusuf al-Qardhawi yang boleh saya simpulkan ialah Dr Yusuf al-Qardhawi mahu kita mengambil pengajaran tentang peristiwa hujrah, bukan sekadar menghafal sirah penghijrahan semata-mata. Yang paling penting adalah bagaimana mengambil pengajaran didalam sirah hijrah dan diaplikasikan dalam kehidupan kini.

Antara pengajaran yang boleh dikongsi bersama ialah

1)Kesabaran Rasulullah SAW dalam menghadapi rintangan adalah kemenangan

2)Penyusunan strategi dalam segala hal adalah sangat penting

3)Dalam melaksanakan sesuatu tugas, mestilah pilih figure-figure yang sesuai. Sebagai contoh Ali bin Abi Thalib yang berani menggantikan tempat tidur Baginda walaupun terpaksa menggadai nyawa dan juga penunjuk jalan yang hebat sehingga tidak dapat dikesan oleh pihak musyrikin Mekah ketika Baginda dan juga Abu Bakar berhijrah ke Madinah.

4)Jangan membuat fitnah dan juga meyebarkan fitnah

Setelah hampir 1 jam, Dr Yusuf al-Qardhawi akhirnya mengakhiri ceramah beliau. Setelah solat isya', saya telah berniat untuk bersalam dengan Dr Yusuf al-Qardhawi tetapi memandangkan terlalu ramai orang untuk bersalam dengan Dr Yusuf al-Qardhawi, saya telah membatalkan hasrat itu.

Tetapi syukur kepada Allah SWT kerana mendengar bisikan isi hati ini, ketika berdiri untuk melihat Dr Yusuf al-Qardhawi dari jauh, tiba-tiba Dr Yusuf al-Qardhawi telah datang menghampiri di tempat saya berdiri. Saya bagaikan tidak percaya dengan keajaiban ini. Saya tanpa membuang masa terus menghampiri Dr Yusuf al-Qardhawi. Disebabkan Dr Yusuf al-Qardhawi mempunyai masalah kesihatan, hadirin tidak dibenarkan untuk bersalam tetapi saya dapat juga meyentuh bahu Dr Yusuf al-Qardhawi untuk mendapat keberkatan ulama besar. Saya tidak sangka dipermudahkan oleh Allah SWT untuk melihat Dr Yusuf al-Qardhawi secara dekat dan menyentuh bahu beliau.

ALhamdulillah siapa sangka dalam ribuan hadirin saya antara yang diberi peluang oleh Allah SWT. Sangat-sangat bersyukur. Pada ketika itu juga, entah dari mana semangat dan tenaga yang ada, saya telah 'mengescort' Dr Yusuf al-Qardhawi sehingga sampai ke tangga walaupun terpaksa berhadapan dengan ramai jemaah yang ingin bersalam dengan Dr Yusuf al-Qardhawi .Satu lagi rezeki yang telah Allah SWT berikan kepada hambanya yang lemah ini.ALhamdulillah..


Yusuf al-Qardhawi
Tangan ini pernah meyentuhmu,
Mata ini pernah melihatmu dari jarak dekat,
Badan ini pernah menahan asakan dalam menjaga kesihatanmu,
aku sangat bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana diberi peluang untuk berjumpa
ulama yang hebat ini.

*Berdoa agar sheikh diberikan kesihatan yang baik.Amin
*Alhamdulillah, tangan ini juga pernah bersalam dengan Sheikh Mahmud Siyam, bekas imam masjid Al-Aqsa.





Talkshow "Hijrahku"

InsyaALLAH PMIMSU akan menganjurkan talkshow pada minggu ini.Butir-butir program adalah seperti berikut:

Tajuk: "Hijrahku"
Perceramah:Ustaz Fauzan Bin Madzlan
Tarikh:22 Desember 2009
Tempat: Teater hall
Masa:5.00petang-6.30petang

Jemput datang beramai-ramai ke taman syurga iaitu majlis ilmu.InsyaAllah beroleh manfaat dunia akhirat. Hijrah kearah yang lebih baik :)

Selasa, 15 Disember 2009

Mukashafah Al Qulub bahagian 1

Salam pertemuan..

Kita sebagai orang Islam yang mengaku beriman mestilah meyakini wujudnya hari kebangkitan atau hari pengadilan kepada semua umat manusia semenjak dari nabi Adam sehinggalah manusia akhir zaman. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar. Pada ketika itu, kita sudah tidak lagi menghiraukan sesiapa sahaja termasuklah ibubapa dan juga orang yang kita sayangi kerana suasana ketika itu amat genting sehinggakan isteri Rasulullah Aishah menangis bilamana memikirkan tentang suasana itu.

Dirawikan oleh Al-Hassan, Aishah ketika memangku Baginda yang sedang mengantuk dipangkunya, Aishah teringat tentang akhirat lansung menangis menitiskan air mata sehingga terkena pada muka Rasullullah. Baginda lantas bangkit dan bertanya kepada Aishah.

"Apa yang membuatmu menangis ya Aishah?" tanya Rasulullah.

Aishah menjawab "Aku mengingat akan akhirat. Adakah engkau akan mengingati akan keluargamu?

"Demi zat yang aku berada didalam kesukaan-Nya di tiga alam, tak seorang pun kecuali hanya mengingati dirinya di saat Mizan diletakkan dan amal ditimbang sehingga manusia melihat apakah timbangannya itu ringan atau berat dan saat dibahagikan buku catatan hingga melihat dengan tangan kananya ia mengambil atau tangan kirinya, juga saat meniti Sirat."

Jawaban itu jelas menunjukkan kepada kita bahawa saat perhimpunan manusia dipadang Mahsyar, kita tidak lagi memikirkan kecuali diri kita. Dengan keadaan dahaga dan juga lapar, ditambahkan lagi terik matahari yang hanya sejengkal dari kepala, beruntunglah yang dapat meminum telaga Kautsar yang merupakan satu-satunya sumber air di padang Mahsyar.

Siapa golongan yang dibenarkan untuk meminum air telaga Kautsar ini? Mereka adalah orang yang beriman kepada Allah SWT.

Sesungguhnya luas telaga Kautsar itu ialah kira-kira sebulan perjalannnya selebar sama dengan panjangnya, airnya lebih putih (jernih) daripada perak dan baunya lebih harum daripada kasturi. Gelas minuman melebihi jumlah bintang dilangit. Barang siapa yang diberi peluang oleh Allah SWT meminumnya, nescaya tidak akan dahaga buat selama-lamanya. Hadis riwayat Abdullah Amru bin Al-'Ash.

Sebaliknya orang yang kafir dan tidak beriman dan banyak melakukan dosa tanpa sempat bertaubat, meraka bukan sahaja tidak dapat meminum air telaga Kautsar bahkan menghampirinya juga tidak boleh.

Apakah kita mahu jadi seperti golongan diatas, yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT untuk menikmati air telaga Kautsar? Jika kita mahu, mengapa kita masih lagi melakukan maksiat kepada Allah SWT. Mencarut, mengumpat, berzina, memegang golongan bukan muhrim (memegang tangan kekasih dan sebagainya), meninggalkan solat, berhias untuk memperlihatkan kecantikkan kepada bukan muhrim, bercakap perkara-perkara yang menaikkan nafsu dan tidak menghormati ibubapa, bercakap kasar kepada mereka dan sebagainya. Tanya akan diri kita, apakah iman kita sudah mantap? Bagaimana kita mahu mendapat rahmat Allah SWT dan seterusnya dapat meminum air telaga Kautsar sedangkan amalan kita penuh dengan catatan buruk.


Sudahlah amal kejahatan banyak dilakukan,tetapi tidak pula melakukan amalan baik dan bertaubat untuk menebus semula dosa yang telah dilakukan. Kadang-kala baca blog atau facebook lebih lama dari baca Quran.Bagaimana mahu menambah amalan baik.bukan?

Ahad, 13 Disember 2009

Tahniah Harimau Malaya...!!

Salam..


Rasanya tidak terlambat lagi untuk saya mengucakan tahniah kepada pasukan bola sepak negara kita kerana telah layak untuk ke separuh akhir setelah menewaskan musuh tradisi, Thailand dan juga telah menukar pandangan saya bahawa pasukan bola sepak kita akan tumbang kepada negara Gajah Putih itu.

Saya selaku seorang yang berstatus lelaki semestinya tidak lari dari memperkatakn tentang bola sepak. Saya juga yakin hampir kesemua lelaki bahkan wanita diseluruh dunia juga meminati sukan ini. Terdapat juga soalan soalan aneh yang sering ditanya bilamana melihat peminat bola sepak ini terlalu fanatik dengan sukan bola sepak ini.

Ibu saya juga sering bertanya soalan aneh ini. "Kenapa nak berebut bola sebijik,lepas tu dah dapat tendang balik". Saya tersenyum seraya menjawab. "Tentulah kena berebut bola sebiji, kalau semua pemain dapat bola, bukanlah namanya bola sepak".

Islam tidak melarang ummatnya untuk beriadah dalam erti kata lain untuk menyihatkan tubuh badan. Pepatah arab ada mengatakan "Akal yang sihat datang dari badan yang sihat" .Bahkan permainan bola sepak juga boleh kita jadikan sebagai satu ibadah tetapi dengan syarat, yang pertama mestilah menutup aurat dan yang kedua tidak melalaikan seperti melewatkan solat.

Tidak sabar lagi melihat pasukan bola sepak kita bertarung pada malam esok. Harap-harap esok RTM boleh mengadakan siaran lansung. Dan satu lagi,untuk musim ini pasukan favourite saya Chelsea akan menang EPL dan juga CL. Wait and see :)

Isnin, 7 Disember 2009

Ya Allah, nakalnya budak ni!!

salam...

Menjadi seorang fesilitator bukan mudah seperti yang disangka. Lebih-lebih lagi 'menghandle' kanak-kanak kecil yang sangat-sangat nakal.

Hari Sabtu dan Ahad yang lepas, saya telah dijemput oleh pihak surau Al-Firdaus di Kota Damansara untuk menjadi fesilitator untuk program Smart Solat. Ini merupakan acara tahunan yang diadakan sempena musim cuti sekolah. Saya bersama seorang sahabat muslimin dan 2 orang sahabiah muslimat telah diberi tanggungjawab untuk menjaga hampir 60 peserta yang dalam lingkungan umur 7 tahun sehingga 17 tahun. Ini merupakan cabaran yang sangat besar kepada saya kerana saya tidak pernah lagi 'menghandle' program yang mana pesertanya merupakan adik-adik kita yang kebanyakkannya masih lagi bersekolah rendah.

Macam-macam ragam dan kerenah adik-adik ini sepanjang program selama 2 hari 1 malam..Sangat pening kepala ini dan pada masa yang sama sangat gembira dapat melayan kerenah adik-adik kecil ini. Mungkin juga faktor anak bongsu menjadikan saya teringin untuk bermain-main dengan adik-adik peserta ini.(saya juga rasa 'marah' kalau melihat ada abang-abang atau kakak-kakak yang 'membuli' adik-adik. Kasihan budak kecil tu :))

Ketika seisi penerangan tentang ambil wudu' dan solat, pelbagai soalan yang ditanya. Apa yang saya dapati adik-adik peserta ingin tidak malu untuk bertanya dan sifat ingin tahu yang tinggi. "Ustaz,kalau macam ini,boleh tak?", "Ustaz,kalau buat macam ini batal tak solat?".Sampaikan tidak terjawab oleh saya lantaran banyak sangat soalan yang diajukan. Kadang-kadang soalan 'main-main' pun ada juga ditanya menyebabkan saya semakin 'geram' dengan adik-adik peserta ini.

Pada hari Sabtu malam Ahad,ada jamuan BBQ diadakan bersempena dengan program Smart Solat ini. Sebut sahaja ayam bbq,ikan keli bakar dan hotdog amat menyelerakan. Dan yang paling menarik perhatian saya adalah kambing panggan. Ustaz-ustaz dan penduduk disana selalu menceritakan tentang 'kehebatan daging kambing panggang' ditambah lagi dengan sambal belacan special.Kecur saya mendengarnya.

Saya tidak sabar lagi untuk merasakan keenakkan kambing panggang ini. Terlalu ramai yang mahu daging kambing ini sehinggakan saya terpaksa beratur. Ketika sedang beratur, tiba-tiba nama saya telah dipanggil oleh seorang ajk surau. Rupa-rupa ajk surau telah memanggil wartawan Sinar Harian untuk membuat laporan dan saya telah dipanggil untuk ditemubual. Dalam keadaan tidak bersedia dan kelaparan, saya telah menjawab soalan dalam keadaan yang tidak bersedia. "biar je lah" getus hati saya. Nak tahu apa yang ditanya,silalah beli Sinar Harian (jadi promoter Sinar Harian sekejap :))

Selepas 5 minit ditemubual, saya terus pergi beratur kembali untuk mengambil kambing panggang. Sudah tidak sabar rasanya. Betullah apa yang dikatakan oleh penduduk kampung, kambing panggang sangat sedap dimakan.2 kali juga kambing panggang itu menjadi santapan saya malam itu.

Pada sebelah pagi hari Sabtu, saya terpaksa balik lebih awal kerana ada bengkel PMIMSU yang diadakan di Taman Tasik Shah Alam. Banyak pengalaman yang saya dakap disini waima hanya berada cma lebih kurang sehari semalam sahaja. Mungkin juga selepas ini saya akan terus belajar menjiwai kanak-kanak kecil supaya lebih 'dekat' lagi dengan mereka.

InsyaAllah,kalau diberi peluang dan ruang, saya akan kembali lagi pada tahun depan dengan harapan saya sudah menjiwai watak anak-anak kecil.

Jumaat, 4 Disember 2009

Musibah di MSU

Salam kebangkitan siswa...

Musim Desember telah terbukti sebagai musim ketujuh yang kebiasaannya melanda pantai timur negara kita seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga mungkin terkena biasannya dinegeri Kedah.

Tetapi semenjak kebelakangan ini, saya perlu menukarkan presepsi otak saya sebelum ini yang didoktrinkan bahawa hanya negeri pantai timur sahaja yang dilanda banjir ketika musim kentujuh tetapi didaerah Shah Alam juga bisa dilanda banjir atau lebih spesifik lagi di seksyen 13. Hujan lebat yang turun tidak sampai satu jam telah menenggelamkan kawasan sekitar seksyen 13, apatah lagi di kampus sementara MSU semalam(3 Desember).

Hujan lebat yang turun menyebabkan kawasan kampus tidak ubah seperti kawasan takungan air. Air bertakung sehingga paras lutut memang sesuatu yang tidak menggembirakan. Banyak masalah yang akan timbul sekiranya masalah ini tidak cuba untuk diatasi. Antara masalah yang telah berlaku dan juga akan berlaku jika maka perkara ini tidak cuba diatasi oleh pihak pengurusan adalah :

1) Suasana belajar yang tidak kondusif

Keadaan banjir ini mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) yang mana menyukarkan student bahkan juga lecturer untuk bergerak ke kelas ataupun kemana-mana dan juga menimbulkan suasana yang agak 'serabut' lantaran terpaksa bersesak di kawasan sempit yang tidak dilanda banjir.(Dihadapan deretan kedai makan)

2) Menggangu kosentrasi ketika menjawab peperiksaan


Sukar untuk membayangkan bagaimana student terpaksa menjawab peperiksaan dalam keadaan dewan peperiksaan (di aras bawah bok C)yang dipenuhi air banjir.Bahkan perkara ini tidak cuba untuk dicari jalan penyelesaian oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau benar tindakan telah diambil, mengapa perkara ini masih lagi berlaku? MOga perkara ini dipandang serius dan diambil tindakan yang sepantas mungkin oleh pihak pengurusan agar student dapat fokus untuk menjawab soalan dan tidak ada perasaan takut jika atau makajika kertas peperiksaan jatuh pada lantai yang digenangi air.

3) Kerosakan harta benda

Kerosakan harta benda terutamanya motosikal dan kereta antara yang paling dibimbangi samada student mahupun staff MSU sendiri seperti enjin dimasuki air. Sudah pasti ini akan menyusahkan pemilik kenderaan yang rosak kerana akan mengeluarkan kos yang tinggi untuk membaik pulih kenderaan mereka.

Dan seperti biasa, saya akan cuba untuk memberi lambakan idea dalam erti kata mencadangkan beberapa langkah-langkah penyelesaian didalam setiap masalah yang saya bangkitkan. Setelah menganaisis perkara ini, terdapat beberapa jalan penyelesaian yang boleh diambi oleh pihak pengurusan seperti:


1) Mengadakan perbincangan dengan pihak MBSA. Agenda perbincangan mestilah fokus kepada sistem saliran dan juga pengairan supaya lebih mantap dan sistematik agar air tidak bertakung lagi. Apa guna longkang besar disebelah kampus jika air takungan tidak disalurkan ke sana?

2) Mengadakan perbincangan dengan pihak kelab Golf Sultan Abdul Aziz. Saya melihat air banjir juga datangnya dari kelab golf tersebut (disebelah kampus sementara)kerana kedudukannya yang agak tinggi berbanding kawasan kampus sementara yang agak rendah. Perbincangan ini mestilah lebih fokus kepada bagaimana mahu mengelakkan agar air banjir dari kelab golf tidak mengalir masuk kedalam kawasan kampus.

Harap-harapnya masalah banjir ini tidak lagi menjadi liabiliti kepada student dan juga staff MSU sendiri.

*Bila agaknya dapat belajar di kampus baru?Harap juga banjir tidak berlaku di kampus baru.InsyaALAH

Selasa, 1 Disember 2009

Untukmu wahai wanita...

Untukmu wahai wanita,

Aku ingin sekali melihat rambutmu dalam keadaan yang halal bagiku,
Tidak sekali-kali aku ingin engkau mempamerkan rambutmu kepada mereka yang tidak halal bagimu,
Tidak sekali-kali,
Aku tidak sanggup melihatmu dalam keadaan membuka aurat,
Kerana apa? Kerana aku takut bilamana memikirkan perbualan antara Rasullullah saw dan juga anaknya Fatimah.

“Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya.
“Wahai putriku, adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak menutup rambutnya sehingga terlihat oleh laki-laki yang bukan muhrimnya.


Aku juga tidak sanggup membayangkan bagaimana engkau dikelilingi oleh kala jengking yang sangat berbisa,
Sangat-sangat menyeksakan,
Dalam keadaan yang sangat memalukan,
Dalam keadaan kakimu tergantung dan tanganmu terikat.

"Aku lihat perempuan tergantung kedua kakinya dengan terikat tangannya sampai ke ubun-ubunnya, dihulurkan ular dan kala jengking".

"Perempuan yang tergantung kedua kakinya ialah perempuan yang tidak taat kepada suaminya, ia keluar rumah tanpa izin suaminya, dan perempuan yang tidak mahu mandi suci dari haid dan nifas".

"Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya dihulurkan ular dan kala jengking padanya kerana ia boleh solat tapi tidak mengamalkannya dan tidak mahu mandi junub".

Aku juga tidak dapat membayangkan bagaimana engkau sanggup memakan tali perutmu,
Dan juga anggota badanmu sendiri,
DiWajahmu tiada seri,hitam pekat tiada nur lantaran engkau berhias bukan untuk suamimu.

"Dan aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Serta aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri".

"Perempuan yang memakan badannya sendiri ialah karana ia berhias untuk lelaki yang bukan muhrimnya dan suka mengumpat orang lain".

"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka karana ia memperkenalkan dirinya kepada orang yang bukan muhrimnya dan bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat laki-laki yang bukan muhrimnya".

Ya Allah, secara jujurnya aku tidak dapat membayangkan jika engkau wahai wanita berubah daripada seelok-elok kejadian manusia,
Menjadi seekor binatang yang sangat hina,
Maaf jika aku terpaksa mengata sedemikian.

"Aku lihat perempuan yang badannya seperti himar, beribu-ribu kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, sedangkan api masuk melalui mulut dan keluar dari duburnya sementara malaikat memukulnya dengan pentung dari api neraka,” kata Nabi.

"Perempuan yang kepalanya seperti **** dan badannya seperti himar ialah tukang umpat dan pendusta. Perempuan yang menyerupai anjing ialah perempuan yang suka memfitnah dan membenci suami.”

Mudah-mudahan engkau wanita menjadi bidadari kepada suamimu didunia dan juga didalam syurga.
Amin.

Sabtu, 28 November 2009

Tidak akan Kesultanan Melayu Melaka hilang didunia???

Salam Eiduladha...


Sudah lama saya tidak balik beraya di kampung di Melaka. Kesempatan untuk beraya di kampung sangat-sangat dinantikan lantaran tahun lepas saya sudah beraya di perantauan, jauh dari keluarga.

Pada petang kelmarin saya berkesempatan untuk keluar berjalan-jalan di bandaraya Melaka yang cukup hebat dan mashyur dengan sejarahnya. Sudah banyak perubahan yang sangat ketara dapat saya lihat. Pelbagai bangunan telah didirikan, pasir-pasir pantai jauh terbentang tatkala proses penambakkan laut sedang asyik dijalankan. Tiba-tiba otakku mula berfikir tanpa diminta. Kenapa kerajaan Melaka dewasa ini diketuai oleh Ketua Menteri? Kenapa tidak diketuai oleh Sultan? Kenapa negeri Melaka sekarang idak lagi diketuai oleh sultan sedangkan jika kita membelek kembali lipatan sejarah, Melaka dahulu sangat dikenali akan pemerintahan berasaskan Kesutanan Melayu Melaka?

Dimana Sultan Melaka sekarang ini? Apakah ghaib bersama-sama Hang Tuah? Ada sahabat-sahabat boleh membantu saya mencari jawapan ini?

Khamis, 26 November 2009

Apa erti pengorbanan bagiku?

Raya Aidiladha merupakan antara salah satu daripada peristiwa penting didalam kalendar umat Islam. Umum sudah mengetahui sejarah di sebalik peristiwa penting ini. Apa yang lebih penting, pengajaran yang terkandung didalam sejarah dapat kita ambil dan seterusnya memanfaatkan agar kita menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar tawadu' dan bertaqwa. Saya lebih suka mencorakkan sejarah ini dengan mengupas tentang pengajaran tentang peristiwa yang penting ini agar lebih membuka minda kita sebagai seorang muslim yang mampu berfikir dan tidak hanya sekadar merayakannya semata-mata.


Pengajaran pertama yang boleh kita kupaskan ialah ketaatan seorang hamba didalam ibadah kepada tuhannya. Bagaimana mungkin seorang ayah yang baru mempunyai cahaya mata setelah lama menanti dikehendaki membunuh ataupun dalam erti kata lain menyembelih anaknya Nabi Allah Ismail as. Tetapi atas dasar keimanan yang teguh dan ketaatan yang tinggi, baginda Ibrahim as sanggup menyembelih anaknya sendiri. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita taat dalam melakukan ibadah kepada Allah swt? Kebanyakkan kita hanya taat pada mainan mulut sahaja tetapi tidak secara realitinya. Taatkah kita jika kita melewatkan solat? Kononnya hendak study, hendak bermain, hendak berjumpa kawan dan pelbagai alasan yang direka untuk ‘menghalalkan’ kelewatan solat itu.


Taatkah kita dengan membuka aurat dan dipertontonkan kepada golongan bukan mahram? Taatkah kita jika kita mengumpat keaiban orang lain? Taatkah kita bila bermesej antara lelaki dan perempuan perkara-perkara yang mengghairahkan, yang bisa menimbulkan nafsu syahwat? Taatkah kita bila bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan kononnya kawan ‘mesra’ (Tanya dalam hati kita, pernahkah kita buat camtu?) Kita boleh tanya kepada diri kita sendiri, sejauh mana tingginya ketaatan kita kepada Pencipta kita?saya tidak mahu menulis dengan lebih panjang, memadailah saya membuat anda berfikir tentang ketaatan kita. Bak kata perpatah “lu fikirlah sendiri”.


Antara lain pengajaran yang saya boleh kongsikan ialah nilai pegorbanan dalam hidup kita sebagai seorang muslim . Kita harus sedar bahawa kita hanya menumpang di bumi ini dan juga kita tidak mempunyai apa-apa untuk dibanggakan (teringat lagu kumpulan Rabbani bertajuk “mana milik kita”). Nilaian harta benda hanyalah pinjaman semata-mata dari Allah swt tetapi sebaliknya kita menganggap ianya seperti milik kita sepenuhnya. Firman Allah swt dalam surah Hud bermaksud:

“dan tidak ada suatu binatang (segenap mahkluk bernyawa)yang melata di muka bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya”.

Mana nilai pengorbanan kita bilamana kita tidak menyedekahkan sedikit harta kita, duit yang kita ada untuk diberikan kepada golongan fakir miskin dan juga mereka yang memerlukan.

Tidak habisnya duit kita atau tidak jatuh papa kedananya kita jika kita memberi sedekah kepada golongan miskin ini. Bahkan jika kita lihat Syed Mokhtar al-Bukhary yang dianggarkan mempunyai asset sebanyak RM2 billion dan juga Bill Gate yang mempunyai wang yang berbilion-billion, mereka ini banyak menyumbangkan sumbangan kepada mereka yang memerlukannya. Bahkan mereka menjadi semakin kaya dan tidak jatuh muflis sama sekali.


Apatah lagi kita ini, untuk memberi sedekah pun sukar sekali. Nak hulur duit RM1 pun payah lebih-lebih lagi kaum adam (kaum hawa jangan suka..hangpa pun kena juga nanti :)) yang berada dalam masjid ketika solat Jumaat. Boleh 'dia' sengaja tidur ketika tabung duit berjalan didepannya dan tidak semana-mana kembali ‘segar’ setelah tabung duit melintasinya. Harapan muslimin yang sedang membaca sekarang tidak tergolong dalam golongan ini). Kalau duit untuk membeli top up, shopping (dekat Shah Alam ada beberapa tempat ‘best’ untuk shopping seperti PAS, SACC MALL dan PKNS), rebonding rambut (kaum hawa, kan hangpa dah kene :P, aku habaq mai dah tadi ), beli alat make up dan sebagainya, tidak pula berkira. Okey-okey je keluar duit sehingga nilaian beratus-ratus (kawan saya suka sebut ratus dengan perkataan rat…2 rat, 3 rat). Belajarlah untuk bersedekah walaupun nilainya hanya RM1. Peribahasa German ada mengatakan “pemberian yang kecil lebih baik daripada janji yang besar”. Besar pahala jika kita bersedekah kepada orang yang memerlukannya.

Pengajaran yang seterusnya yang boleh kita kupas adalah sejauh mana tawakal kita dan juga sejauh mana kita berserah diri kepada Allah swt. Kita cuba renungkan seketika bagaimana Nabi Ibrahim as hanya bertawakal tatkala mahu menyembelih anaknya. Baginda yakin dengan perintah Allah swt di dalam melaksanakan amanahnya. Allah swt telah berfirman dalam surah At-Talaq ayat 2 yang bermaksud

"....dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)

dan juga dan ayat 3 yang bermaksud:

" Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Setelah kita melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh, barulah kita bertawakal kepada Allah, Bukannya kita tidak berusaha tetapi terus bertawakal kepadaNya. Contoh yang paling mudah saya boleh bentangkan adalah ketika musim peperiksaan. Konsep tawakal hanya benar-benar sampai maksudnya jika kita telah belajar bersungguh-sungguh, mengulangkaji pelajaran dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan. Bukannya kita study last minute malahan tidak study sama sekali dan hanya berkata “ aku study tak habis lagi, takpelah tawakallah je lah”. Ini adalah ayat-ayat popular (bukan ayat-ayat cinta) yang sering kita dengar.

Malahan nabi Muhammad saw pernah menegur salah seorang sahabat baginda tentang perkara ini. Suatu hari seorang sahabat datang untuk solat dan membiarkan untanya berkeliaran diluar masjid. Baginda bertanyakan tentang unta itu. Sahabat baginda menjawab bahawa dia tidak mengikat untanya tetapi hanya bertawakal supaya untanya tidak hilang. Baginda lantas menyuruh sahabat tadi mengikat untanya barulah bertawakal kepada Allah swt .Disini kita boleh lihat bagaimana baginda memperlihatkan konsep tawakal yang sebenar kepada kita. Justeru itu, kita tidak boleh menyalahgunakan konsep tawakal mengikut persepsi kita sendiri.


Benarkah kita sudah menghayati kosep pengorbanan menurut acuan Islam ataupun kita hanya menyambutnya seperti sambutan tahun baru,tiada menfaat yang kita perolehi sama sekali. Tepuk dada tanya iman!!!!

Selasa, 24 November 2009

Kecewa terhadap admin MSU

saya secara peribadi sangat kecewa dengan pihak admin facebook MSU. Mereka sudah menampakkan belang mereka yang sebenar. Usaha-usaha untuk memadam kebangkitan suara siswa sudah nampak bilamana pihak admin MSU telah membuang update status saya pada halaman facebook MSU. kalau benar pihak admin menganggap mereka berjaya memadam suara kebangkitan siswa, mereka sudah silap. Dengan usaha mereka ini tidak mematikan semangat saya untuk memperjuangkan isu kabajikan pelajar. Satu persoalan saya, kenapa perlu mengubah 'setting' menyebabkan saya tidak boleh lagi mengupdate status di halaman facebook MSU? Saya harap ada jawapannya dari pihak yang bertanggungjawab.

Umum mengetahui bahawa pihak MSU baru sahaja mendapat perakuan akreditasi Institusi Ulung daripada badan akreditasi United Kingdom, Accreditation Service for International Colleges (ASIC),yang mana university swasta kedua di negara kita yang berjaya mendapat pengiktirafan ini.Antara kelayakan yang membolehkan sesuatu institusi pendidikan itu mendapat akretasi adalah mencatat markah lebih 80 peratus atau kepujian bagi enam daripada lapan kategori dinilai dalam audit institusi yang dijalankan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ASIC, Maurice Dimmock, berkata enam kategori terbabit yang dinilai ialah keselamatan premis dan kesihatan, pengurusan dan sumber manusia, pengukuhan dan jaminan kualiti, kebajikan pelajar, pemasaran serta hubungan dengan jabatan kerajaan.Tambah beliau lagi, aspek utama yang dinilai adalah aspek perkhidmatan dan kebajikan pelajar.

Saya tidak jelas bagaimana penilaian tentang kebajikan pelajar diambil kira. Saya tidak mahu isu kebajikan ini hanya sekadar retorik semata-mata untuk membolehkan MSU mendapat akreditasi ini. Kalau benar isu kebajikan ini mendapat markah sehingga 80%, pihak pengurusan perlu membuktikan, tidak hanya sekadar idealisme semata-mata. Siswa sekrang sudah mampu untuk berfikir yang mana satu betul dan yang mana satu salah. Siswa sekarang sudah mampu untuk berfikir dan bukan hanya terima sesuatu perkara itu bulat-bulat.

Sebelum saya mengakhiri entry saya kali ini, saya berazam untuk terus memperjuangkan isu kebajikan pelajar walaupun mendapat pelbagai cabaran dan halangan .

BANGKIT SISWA MENUNTUT KEBAJIKAN!!

Ahad, 22 November 2009

MSU dengarlah !!!

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah segala pujian saya panjatkan ke Allah taala kerana saya selamat sampai di Shah Alam untuk meneruskan perjuangan saya sebagai seorang pelajar yang hampir setahun lebih bergelar siswa MSU.

Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis tentang tajuk ini. Saya telah membuat beberapa penilaian dan mengumpul beberapa maklumat agar penulisan saya ini tidak hanya semborono tetapi berdasarkan fakta dan juga pengalaman. Sepanjang setahun lebih saya menjejak kaki di hamparan bumi MSU,saya dapat melihat beberapa perkara yang saya rasa tidak kena pada pandangan saya selaku salah seorang pelajar MSU. Antara perkara yang paling ketara saya lihat adalah mengenai soal kebajikan pelajar. Pihak pengurusan seolah-olah minidakkan keperluan kita sebagai pelajar dengan mengenepikan soal-soal kebajikan. Antara soal kebajikan yang sering diabaikan oleh pihak pengurusan adalah seperti infrastruktur yang tidak sempurna atau rosak seperti tandas dan juga kelas, sewa hostel atau rumah (dibawah agent) yang mahal dan juga yuran pengajian yang mahal. Saya banyak mendapat komen dari kawan-kawan saya mengenai hal kebajikan yang sering diabaikan oleh pihak pengurusan yang seolah-olah menutup mata dari melihatnya.

Isu tandas kotor dan rosak sudah acap kali didengari. Tandas yang ada terutamanya di kampus boleh dikatakan rosak hampir 70%. Kalau tidak percaya pergilah lihat tandas di blok C. Tandas yang berbau dan kotor, pintu yang pecah serta tercabut sama sekali tidak diperbaiki. Begitu juga dengan tandas di blok A iaitu bersebelahan dengan dewan teater hall. Sudahlah pintunya sukar untuk dikunci ditambahkan lagi flush yang tidak berfungsi, hingga menampakkan bahan buangan yang menjijikan. Ini sekaligus memberikan persepsi buruk kerana dewan teatar hall sering kali digunakan untuk pelbagai ‘function’ yang melibatkan pihak luar. Bahkan tandas yang ada di deretan kedai makan tidak mampu untuk menampung pelajar seramai 200 orang satu-satu masa. Ini tidak lagi dicampur dengan pelajar PTPL Shah Alam yang berkongsi bangunan dengan pelajar MSU.Bahkan bukan semua tandas yang terletak di kedai makan di dalam kolej boleh digunakan kerana rosak.

Selain daripada itu, masalah rumah sewa yang mahal juga merupakan liability kepada pelajar terutama pelajar baru. Pelajar-pelajar baru ini kebanyakkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup kerana terpaksa membayar yuran pendahuluan yang mahal, membeli barang-barang keperluan sebagai persedian untuk memasuki alam university dan sebagainya. Contoh yang paling mudah ialah bayaran sewa untuk menyewa di hostel di dalam kampus mencecah hampir RM200. Tidak memadai bayaran yang sebegitu mahal kerana keadaan bilik yang sempit, yang saya fikir hanya muat untuk 2 orang tetapi disumbat seramai 4 orang.

Sudahlah tidak dibenarkan memasak sekaligus memaksa pelajar untuk mengeluarkan wang yang lebih untuk membeli makanan diluar. Contoh lain yang saya bawa untuk kita sama-sama berfikir ialah rumah sewa iaitu apartment Seroja dan Delima yang telah diuruskan oleh agent luar. Mengikut analisis saya,harga sewa untuk rumah tersebut sekitar rm600 tetapi di bawah kendalian agent, seorang pelajar di kehendaki membayar sebanyak RM180 seorang dan bilangan penghuni adalah seramai 8 orang. Secara matematiknya, seseorang agent itu boleh mendapat sebanyak hampir Rm1440, jauh 2 kali ganda dari harga sewa rumah biasa. Ini boleh saya katakan sebagai satu perbuatan yang zalim dan mengambil kesempatan diatas kesusahan orang lan. Malahan kebajikan dan keselamatan juga tidak dititik beratkan. Bilik yang muat untuk 2 orang, dimampatkan supaya muat untuk 3 orang. Malahan katil double ducker yang disediakan tidak sesuai dan sekaligus tidak selamat lantaran penghuni yang tidor di katil atas hampir terkena dengan kipas syiling. Cuba bayangkan jika penghuni terleka, pasti bahaya menanti mereka. Hal-hal sebegini dipandang enteng oleh pihak pengurusan dan juga pihak agent terbabit. Tidak ada usaha yang dibuat untuk mengatasi masalah ini yang saya kira amat-amat membebankan pelajar. Ada pelajar yang sanggup mengikat perut semata-mata hanya kerana ingin berjimat lantaran sewa rumah yang boleh dikatakan mencekik darah. Kesannya, pelajar berkemungkinan akan mengalami masalah kesihatan dan juga akan memberi kesan secara tidak lansung kepada pembelajarannya. Saya mahu pihak pengurusan mengambil berat akan perkara sebegini. Saya tidak mahu sistem pendidkan di MSUdiperdagangkan untuk kepentingan pihak tertentu sehinga menindas dan berlaku zalim kepada pelajar.

Selain itu, yuran pengajian yang mahal juga amat membebankan pelajar. Saya berharap pihak pengurusan dapat memberi pencerahan kepada pelajar mengapa yuran pengajian meningkat mahal lantaran sekarang ekonomi dalam keadaan tidak menentu. Ini sekaligus memberi bebanan kepada para pelajar terutama kepada mereka yang mengambil PTPTN. Cuba bayangkan mereka yang meminjam PTPTN hanya memperolehi sekitar RM100 untuk satu semester disebabkan yuran yang sangat tinggi dan mahal. Seolah-olah pinjaman PTPTN diguanakan semata-mata untuk membayar yuran dan tidak ada elaun bulanan yang sebenarnya amat diperlukan oleh pelajar. Elaun yang hanya bernilai RM100 tidak mampu untuk membayar bayaran sewa rumah, untuk membeli makanan mahupun untuk digunakan untuk keperluan pembelajaran seperti ‘print assignment’, membeli alat tulis dan sebagainya.


Bagi masalah kebajikan yang telah timbul, saya telah membuat beberapa lambakan idea supaya kita sama-sama antara pelajar dan juga pihak pengurusan dapat membantu masalah kebajikan pelajar MSU. Untuk mengatasi perkara yang saya sebut diatas, saya telah gariskan beberapa garis panduan jalan penyelesaian yang saya rasa mampu untuk sekurang-kurangnya tidak membebankan pelajar. Antara cadangan saya ialah:

1.Membaiki dengan segera tandas yang rosak dan membuat pemeriksaan berkerap.

Tandas yang rosak mestilah dibaiki dengan segera untuk mengelakkan isu tandas ini terus membelengu pemikiran pelajar. Alasan tidak boleh diberi seperti tidak mahu membaiki tandas kerana tandas kemungkinan akan rosak semula dilakukan oleh pelajar. Ini merupakan alasan yang tidak relevan. Saya membawa perumpamaan sebatang pokok yang rendang. Pokok yang rendang akan mengeluarkan daun yang lebat dan akan gugur daunya sekiranya ditiup angin. Adakah pokok tersebut tidak lagi mengeluarkan daun? Tidak bukan? Pokok tersebut akan terus mengeluarkan daun walaupun angin membadainya berulang-ulang kali. Begitu juga situasi di dalam isu tandas ini. tandas akan rosak berulang kali tetapi ini bukan alasan untuk tidak membaiknya lagi. Kempen kesedaran tentang vandalism mungkin boleh dipacakkan oleh pihak pengurusan agar pelajar megetahui tentang negatifnya vandalism ini. Dan juga pemeriksaan berkerap juga harus dibuat agar keadaan tandas dapat dikemaskini supaya terus berada dalam keadaan selesa.

2.Membuat perbincangan dengan pihak agent untuk mengurangkan kos sewa rumah

Pihak pengurusan perlu membuat perbincangan agar sewa rumah dapat dikurang supaya tidak terus menzalimi pelajar. Jika tidak dapat untuk turunkan harga, memadailah dengan pihak agent meningkat mutu perkhidmatan agar pelajar boleh menginap dalam keadaan yang selesa dan tidak dibelengu dengan masalah kewangan.

3.Tidak menaikkan harga yuran pengajian terlalu tinggi

Peningkatan yuran mungkin tidak dapat dielakkan tetapi biarlah mengambil kira pandangan pelajar yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan juga musim ekonomi yang tidak stabil dewasa ini. Pihak pengurusan perlu mengambil kira pertimbangan tentang pelajar yang tidak baru sehaja masuk dan juga tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh sebelum mengambil keputusan menaikkan yuran pengajian.

Masalah ini tidak akan selesai sekiranya kita sebagai pelajar tidak bersuara untuk meminta hak kita sebagai seoran pelajar.Anda semua sebagai seorang pelajar mempunyai hak untuk bersuara kerana yuran pengajian itu dibayar menggunakan duit kita, dan kita berhak meminta soal-soal kebajikan kita dipertingkatkan dan tidak diabaikan oleh pihak pengurusan. Pepatah English ada berbunyi ‘What you give, you get back.’ Saya mewakili kawan-kawan saya ingin memohon jasa baik pihak pengurusan untuk lebih peka terhadap kebajikan pelajar. Janganlah pelajar sendiri dianaktirikan sedangkan memberi sepenuh “perhatian” kepada golongan bukan pelajar MSU. Harapan kami agar pihak pengurusan dapat memberi penekanan dan perhatian terhadap isu yang saya bangkitkan ini dan mendapat jawapan yang positif. InsyaAllah.

Sabtu, 21 November 2009

Peringatan kawan..!

Tidak sangka rupanya blog saya ini mendapat perhatian sahabat-sahabat kerna sudah lama tidak diupdate. Kesibukan sedikit sebanyak menyumbang kepada faktor kenapa blog saya ini tidak diupdate. Tetapi tidak mengapa kerana saya sudah menyediakan 2 entry yg bertajuk "MSU,dengarlah !!" dan juga "Apa erti pengorbanan bagiku?" saya akan postkan tidak lama lagi. Nantikanlah .Terima kasih juga sahabat-sahabat yang sudi menjenguk di laman blog saya ini.Syukran kasiran!!

Isnin, 16 November 2009

Pengajaran:jangan ketawa dekat orang lain,nanti kita yang kena semula... :P

Untukmu yang digelar wanita

RATUKU
INGINKU LUAHKAN APA YANG SUDAH LAMA INGINKU LUAHKAN
TENTANG KEBIMBANGANKU INI TATKALA MELIHAT BUNGA-BUNGA BERGUGURAN
DIPETIK TANGAN-TANGAN YANG GANAS LAGI BERNAFSU SERAKAH

RATUKU
KEBIMBANGANKU INI MASIH MENEBAL
APABILA MENDENGAR DENGUNGAN KUMBANG PEROSAK
YANG CUBA MENYEDUT MADUMU WALAU TANPA RELAMU

RATUKU
KEBIMBANGANKU BERTAMBAH LAGI
BILA KU MELIHAT BUNGA YANG TAK SEGAN SILU
MELEMPIASKAN KECANTIKKANNYA KETIKA SEDANG MEKAR
MELUPAKAN KUNTUMAN YANG SEBELUM INI MELINDUNGINYA

RATUKU
AKU MASIH TERPINGA-PINGA
MASIH WUJUDKAH LAGI RATU IDAMAN HATIKU
KERANA APA YANG AKU LIHAT HARI INI
SEMAKIN BANYAK BUNGA-BUNGA GUGUR
BAGAIKAN TIBANYA MUSIM LURUH

RATUKU
BUKANLAH KUHARAP KAU SEGIGIH SITI HAWA
YANG BERLARI-LARI ANTARA SAFA DENGAN MARWAH
BUKAN JUGA SESETIA AINUL MARDHIYYAH
MENANTI KEKASIH DIPINTU SYURGA

RATUKU
AKUILAH HAKIKAT YANG TERSURAT
KAU BUKANLAH SITI KHADIJAH MAHUPUN SITI FATIMAH
KAU BUKAN AISYAH BUKAN JUGA RABIATUL ADAWIYAH
WANITA SUCI TERPUJI
KERNA AKU TIDAK LAYAK
BERHARAP SEDEMIKIAN RUPA
CUKUPLAH SEKADAR KAU CUBA MENCONTOHI BUNGA-BUNGA ITU
KEMBANG MEKAR MEWANGI
SEHINGGA HARUMANNYA MELEWATI PINTU-PINTU SYURGA
JANGAN KAU RISAU RATUKU
KADANGKALA MUSIM BERGANTI
SEHINGGA BUNGA TAK DAPAT BERKEMBANG MEKAR
TAPI ITU HANYA UJIAN BUATMU

RATUKU
ESOK MUSIM BUNGA PASTIKAN TIBA
DAN KAU AKAN MAMPU BERKEMBANG LAGI
CUMA YANG KUHARAPKAN KETIKA ITU
KAU JAGA KELOPAKMU ITU
JANGAN SAMPAI TANGAN-TANGAN KASAR MEMETIKMU LAGI
JANGAN GODA KUMBANG-KUMBANG GANAS MENGHISAP MADU
JANGAN BIARKAN GAGAK-GAGAK HITAM ITU MEROSAKKAN SERIMU
KERNA KAU RATU IDAMAN KALBU

RATUKU
AKU BUKANLAH MEMANDANG KECANTIKKANMU
WALAUPUN KADANGKALA AKU TERTARIK MEMANDANGNYA
TAPI BUKAN ITU YANG KUHARAPKAN
AKU YAKIN RATUKU MASIH ADA SINAR HARAPAN
YANG BISA MEMBUATKU TERSENYUM LEGA
KERANA AKANKU TEMUI
RATU YANG BENAR-BENAR RATU

Ahad, 15 November 2009

Langkah Permulaan

salam...
ni adalah kali kedua aku membuat blog selepas blog yang pertama tidak dketahui perkembangannya (dah lama x update),hopefully blog ni bolehlah bertahan lama..InsyaAllah :P