Memaparkan catatan dengan label Mukashafah Al Qulub. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mukashafah Al Qulub. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Januari 2010

Mukashafah Al Qulub bahagian 2

Salam....

Setelah hampir 2 minggu meninggalkan penulisan blog disebabkan perkara-perkara yang tertentu, Alhamdulillah hari ini dapat saya 'menghidupkan' semula blog ini yang koma seketika.

Pada entry yang lepas, sahabat saya Ustaz Rafiuddin meminta saya untuk memberikan sedikit penjelasan tentang karangan Hujatul Islam Imam Al-Ghazali yang bertajuk Mukasyafah Al-Qulub (Penawar bagi hati) ini.  Melalui kitab ini beliau mengorek barah yang bersarang di hati. Beliau jelaskan sebab dan bahayanya barah hati ini kemudian beliau meyentuh betapa pentingnya "Rhiadah dan Mujahaddah". Juga beliau mengetengahkan pula bagaimana sikap orang yang telah mencapai tingkatan ariffan.  Mudah-mudahan melalui syarahan kitab ini dapat menambahkan keimanan kita semua. InsyaAllah.

Pada entry yang lepas juga saya ada menerangkan suasana ketika kita berada di negeri akhirat dan pada ketika itu juga kita akan berdiri menghadap 2 timbangan yang mana timbangan itu dijaga oleh malaikat. jika amalan kita berat amalan baiknya, maka malaikat akan berkata dengan suara yang boleh didengar semua orang ketika itu " si fulan bahagia selamanya" manakala jika amalan kita penuh dengan amal buruk, riak dalam beribadat, melengahkan bertaubat, tidak ikhlas melakukan pekerjaan, mengumpat, mencari keburukan orang lain, melihat perkara-perkara zina, semua ini akan menyebabkan kita menjadi vip didalam neraka. Maka malaikat akan berkata dengan suara yang gerun "si fulan celakalah selamanya". Maka malaikat Zabaniyah dengan tukul besi di tangan dan pakaian api menghampiri mereka ke neraka. Ketika itu sudah tidak ada lagi nikmat kerana kita akan dimasukkan ke tempat yang paling seksa dan yang paling buruk pengakhirannya.

Malaikat memanggil " mana fulan bin fulan yang suka berangan dengan nikmat dunia dan mengsia-siakan umurnya terutama pada waktu mudanya untuk beramal jahat?". Maka malaikat akan memukul ahli neraka , menyeksa dan membuangkan mereka ke dalam neraka yang makanan dan minumannya dari api neraka. Neraka Hawiyyah mengongkong kita sambil malaikat memukul kita. Kaki kita diikat, kita menjerit dan meratap " Wahai Malik, ancaman itu telah nyata bagi kami, berat untuk kami terima besi itu dan kulit kami telah lumat dah hancur diseksa. Keluarkan kami dari sini. Kami tidak lagi berdaya menahan seksaan neraka ini. Kami tidak ulangi lagi". Malaikat Zabaniyyah berkata " Tidak mungkin kau akan keluar dari tempat hina ini. Jika kau dikeluarkan maka kau akan ulangi perbuatan larangan itu."

Bagaimana pula keadaan neraka itu? Kita mengetahui bahawa neraka itu tempat yang menakutkan, tempat yang menyeksakan tetapi kita masih lagi berani melakukan maksiat kepada Allah swt. Kerana apa? Kerana kita tidak mengetahui sifat neraka itu sendiri. Kita tahu bahayanya buaya kerana sifatnya yang ganas, mempunyai gigi yang tajam, boleh membaham dan menbunuh kita. Bahkan neraka juga mempunyai sifat-sifat yang jikamaka kita mengetahuinya, saya yakin hati kita akan gentar dan mengalirkan air mata lantaran takut akan api neraka.

Api didalam neraka sentiasa menyala-nyala  dari atas, bawah, kiri dan kanan. Api dimana-mana sahaja. tiada tempat yang tidak dipenuhi api neraka. Makanan, minuman, pakaian dan segala-galanya dari api. Firman Allah swt dalam Al-Waqi'ah ayat 51-56 yang bermaksud " Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas. Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu."

Sabda nabi " Di jahanam ada seribu jurang. Tiap jurang ada seribu lorong. Tiap lorong ada seribu ular, tujuh puluh kala jengking dan semua itu pasti menyengat orang kafir dan juga orang munafik.".  Bayangkanlah ular berbisa dan juga kala jengking yang berkeliaran mencari ahli neraka, dengan kita dirantai oleh rantai api neraka, tiada lagi tempat untuk melarikan diri. Azab yang paling ringan adalah selipar api yang bilamana kita memakainya, bergelegak otak kerana panasnya api neraka itu. Kita disiram dengan air panas, isi perut hancur dan kulit melecet dan mengelupas. Rambut jadi hangus, nanah meleleh keluar dari mulut. Sangat menyeksakan bagi kita yang waras fikirannya.tetapi kita masih lagi membuat maksiat dan tidak lagi bertaubat. Mahu kena balasan api neraka baru nak bertaubat ke?




Selasa, 15 Disember 2009

Mukashafah Al Qulub bahagian 1

Salam pertemuan..

Kita sebagai orang Islam yang mengaku beriman mestilah meyakini wujudnya hari kebangkitan atau hari pengadilan kepada semua umat manusia semenjak dari nabi Adam sehinggalah manusia akhir zaman. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar. Pada ketika itu, kita sudah tidak lagi menghiraukan sesiapa sahaja termasuklah ibubapa dan juga orang yang kita sayangi kerana suasana ketika itu amat genting sehinggakan isteri Rasulullah Aishah menangis bilamana memikirkan tentang suasana itu.

Dirawikan oleh Al-Hassan, Aishah ketika memangku Baginda yang sedang mengantuk dipangkunya, Aishah teringat tentang akhirat lansung menangis menitiskan air mata sehingga terkena pada muka Rasullullah. Baginda lantas bangkit dan bertanya kepada Aishah.

"Apa yang membuatmu menangis ya Aishah?" tanya Rasulullah.

Aishah menjawab "Aku mengingat akan akhirat. Adakah engkau akan mengingati akan keluargamu?

"Demi zat yang aku berada didalam kesukaan-Nya di tiga alam, tak seorang pun kecuali hanya mengingati dirinya di saat Mizan diletakkan dan amal ditimbang sehingga manusia melihat apakah timbangannya itu ringan atau berat dan saat dibahagikan buku catatan hingga melihat dengan tangan kananya ia mengambil atau tangan kirinya, juga saat meniti Sirat."

Jawaban itu jelas menunjukkan kepada kita bahawa saat perhimpunan manusia dipadang Mahsyar, kita tidak lagi memikirkan kecuali diri kita. Dengan keadaan dahaga dan juga lapar, ditambahkan lagi terik matahari yang hanya sejengkal dari kepala, beruntunglah yang dapat meminum telaga Kautsar yang merupakan satu-satunya sumber air di padang Mahsyar.

Siapa golongan yang dibenarkan untuk meminum air telaga Kautsar ini? Mereka adalah orang yang beriman kepada Allah SWT.

Sesungguhnya luas telaga Kautsar itu ialah kira-kira sebulan perjalannnya selebar sama dengan panjangnya, airnya lebih putih (jernih) daripada perak dan baunya lebih harum daripada kasturi. Gelas minuman melebihi jumlah bintang dilangit. Barang siapa yang diberi peluang oleh Allah SWT meminumnya, nescaya tidak akan dahaga buat selama-lamanya. Hadis riwayat Abdullah Amru bin Al-'Ash.

Sebaliknya orang yang kafir dan tidak beriman dan banyak melakukan dosa tanpa sempat bertaubat, meraka bukan sahaja tidak dapat meminum air telaga Kautsar bahkan menghampirinya juga tidak boleh.

Apakah kita mahu jadi seperti golongan diatas, yang tidak dibenarkan oleh Allah SWT untuk menikmati air telaga Kautsar? Jika kita mahu, mengapa kita masih lagi melakukan maksiat kepada Allah SWT. Mencarut, mengumpat, berzina, memegang golongan bukan muhrim (memegang tangan kekasih dan sebagainya), meninggalkan solat, berhias untuk memperlihatkan kecantikkan kepada bukan muhrim, bercakap perkara-perkara yang menaikkan nafsu dan tidak menghormati ibubapa, bercakap kasar kepada mereka dan sebagainya. Tanya akan diri kita, apakah iman kita sudah mantap? Bagaimana kita mahu mendapat rahmat Allah SWT dan seterusnya dapat meminum air telaga Kautsar sedangkan amalan kita penuh dengan catatan buruk.


Sudahlah amal kejahatan banyak dilakukan,tetapi tidak pula melakukan amalan baik dan bertaubat untuk menebus semula dosa yang telah dilakukan. Kadang-kala baca blog atau facebook lebih lama dari baca Quran.Bagaimana mahu menambah amalan baik.bukan?