Sabtu, 16 Januari 2010

Mukashafah Al Qulub bahagian 2

Salam....

Setelah hampir 2 minggu meninggalkan penulisan blog disebabkan perkara-perkara yang tertentu, Alhamdulillah hari ini dapat saya 'menghidupkan' semula blog ini yang koma seketika.

Pada entry yang lepas, sahabat saya Ustaz Rafiuddin meminta saya untuk memberikan sedikit penjelasan tentang karangan Hujatul Islam Imam Al-Ghazali yang bertajuk Mukasyafah Al-Qulub (Penawar bagi hati) ini.  Melalui kitab ini beliau mengorek barah yang bersarang di hati. Beliau jelaskan sebab dan bahayanya barah hati ini kemudian beliau meyentuh betapa pentingnya "Rhiadah dan Mujahaddah". Juga beliau mengetengahkan pula bagaimana sikap orang yang telah mencapai tingkatan ariffan.  Mudah-mudahan melalui syarahan kitab ini dapat menambahkan keimanan kita semua. InsyaAllah.

Pada entry yang lepas juga saya ada menerangkan suasana ketika kita berada di negeri akhirat dan pada ketika itu juga kita akan berdiri menghadap 2 timbangan yang mana timbangan itu dijaga oleh malaikat. jika amalan kita berat amalan baiknya, maka malaikat akan berkata dengan suara yang boleh didengar semua orang ketika itu " si fulan bahagia selamanya" manakala jika amalan kita penuh dengan amal buruk, riak dalam beribadat, melengahkan bertaubat, tidak ikhlas melakukan pekerjaan, mengumpat, mencari keburukan orang lain, melihat perkara-perkara zina, semua ini akan menyebabkan kita menjadi vip didalam neraka. Maka malaikat akan berkata dengan suara yang gerun "si fulan celakalah selamanya". Maka malaikat Zabaniyah dengan tukul besi di tangan dan pakaian api menghampiri mereka ke neraka. Ketika itu sudah tidak ada lagi nikmat kerana kita akan dimasukkan ke tempat yang paling seksa dan yang paling buruk pengakhirannya.

Malaikat memanggil " mana fulan bin fulan yang suka berangan dengan nikmat dunia dan mengsia-siakan umurnya terutama pada waktu mudanya untuk beramal jahat?". Maka malaikat akan memukul ahli neraka , menyeksa dan membuangkan mereka ke dalam neraka yang makanan dan minumannya dari api neraka. Neraka Hawiyyah mengongkong kita sambil malaikat memukul kita. Kaki kita diikat, kita menjerit dan meratap " Wahai Malik, ancaman itu telah nyata bagi kami, berat untuk kami terima besi itu dan kulit kami telah lumat dah hancur diseksa. Keluarkan kami dari sini. Kami tidak lagi berdaya menahan seksaan neraka ini. Kami tidak ulangi lagi". Malaikat Zabaniyyah berkata " Tidak mungkin kau akan keluar dari tempat hina ini. Jika kau dikeluarkan maka kau akan ulangi perbuatan larangan itu."

Bagaimana pula keadaan neraka itu? Kita mengetahui bahawa neraka itu tempat yang menakutkan, tempat yang menyeksakan tetapi kita masih lagi berani melakukan maksiat kepada Allah swt. Kerana apa? Kerana kita tidak mengetahui sifat neraka itu sendiri. Kita tahu bahayanya buaya kerana sifatnya yang ganas, mempunyai gigi yang tajam, boleh membaham dan menbunuh kita. Bahkan neraka juga mempunyai sifat-sifat yang jikamaka kita mengetahuinya, saya yakin hati kita akan gentar dan mengalirkan air mata lantaran takut akan api neraka.

Api didalam neraka sentiasa menyala-nyala  dari atas, bawah, kiri dan kanan. Api dimana-mana sahaja. tiada tempat yang tidak dipenuhi api neraka. Makanan, minuman, pakaian dan segala-galanya dari api. Firman Allah swt dalam Al-Waqi'ah ayat 51-56 yang bermaksud " Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak, iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas. Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu."

Sabda nabi " Di jahanam ada seribu jurang. Tiap jurang ada seribu lorong. Tiap lorong ada seribu ular, tujuh puluh kala jengking dan semua itu pasti menyengat orang kafir dan juga orang munafik.".  Bayangkanlah ular berbisa dan juga kala jengking yang berkeliaran mencari ahli neraka, dengan kita dirantai oleh rantai api neraka, tiada lagi tempat untuk melarikan diri. Azab yang paling ringan adalah selipar api yang bilamana kita memakainya, bergelegak otak kerana panasnya api neraka itu. Kita disiram dengan air panas, isi perut hancur dan kulit melecet dan mengelupas. Rambut jadi hangus, nanah meleleh keluar dari mulut. Sangat menyeksakan bagi kita yang waras fikirannya.tetapi kita masih lagi membuat maksiat dan tidak lagi bertaubat. Mahu kena balasan api neraka baru nak bertaubat ke?




Tiada ulasan:

Catat Ulasan